Waaa..rupanya saya masih ada di sini.. Terrasa rindu pula untuk menulis...
Malam ini cuaca agak dingin. Hujan lebat yang turun dari petang, membuatkan Umie membatalkan niatnya untuk pergi berterawih. Dia takut akan berlaku banjir kilat. Jalanraya yang menjadi laluannya ke masjid, selalu berlaku banjir kilat kerna tempat itu berhampiran dengan sungai.
Umie ingin tidur awal malam ini, tapi matanya seperti enggan terlena. Kata-kata sahabatnya di siang tadi, seperti menyucuk-nyucuk telinganya.
" Kawan, aku fikir bila engkau dah kahwin, cara hidup engkau akan berubah. Tapi Aku lihat engkau masih seperti ini," kata Norlia sambil menepuk-nepuk bahu Umie dengan mesra, semasa dia singgah membeli karipap putar di gerai bazaar Umie.
" Kau tidak angkat budak hari ni? " Soal Norlia lagi.
" Tidak. Kereta aku rosak. Lagi pun aku mahu berhenti angkat budak-budak sekolah itu. Kalau kereta baru aku keluar, aku fikir-fikir mahu ambil grap."
Terngangga mulut Norlia mendengar penjelasan Umie.
" Engkau biar betul kawan. Aku tidak pernah dengar pemandu perempuan grap. Bahaya kerja tu. Baik jangan buat. Lagi pun untuk apa lagi teruk-teruk kerja, dia pun bagi juga duit belanja bulan-bulan kan. Kalau rasa tidak cukup, minta saja balik. Dia kan gaji
besar. "
Umie tersenyum mendengar kata-kata sahabat karibnya itu.
" Nor, aku kahwin dengan suami aku tu, bukan nak kan gaji besarnya. Malah aku tidak pernah tanya pun berapa gajinya. Berapa pun dia bagi sebagai belanja aku dengan anak-anak di sini, aku terima sahaja tanpa mempersoalkan apakah ianya cukup atau tidak cukup. Dan untuk pengetahuan mu, aku tidak pernah minta duit dia,kerna aku rasa segan sangat. Takut dikatakan mata duitan. Kerna aku kahwin dengan dia bukan kerna duit, tapi kerna kaseh sayang. Aku beranggapan dia seorang yang pengaseh dan penyang." Panjang lebar Umie menjelaskan pada Norlia.
Namun Norlia seperti tidak puas hati dengan sikap sahabatnya.
" Jadi...,Umie sudah dapatkah kaseh sayang itu? Setahu saya hanya pada hari perkahwinan itu sahaja Umie pernah jumpa dia kan. Berapa hari saja dia ada bersama Umie, lepas itu dia tidak pernah datang-datang lagi. Apakah dia tahu segala kesusahan Umie di sini, sakit pening Umie yang kadang-kadang sepatutnya tidak boleh bangun, tapi terpaksa bangun juga untuk membuat kerja yang sepatutnya bukan kerja Umie, tapi Umie gagahi juga diri Umie, demi untuk anak-anak Umie. Kaseh sayang apa sebenarnya yang begitu Umie? "
Beriya-iya benar Norlia cuba menyedarkan sahabatnya. Namun Umie tetap dengan ketenangannya, cuma tersenyum menerima
kata-kata Norlia.
Selepas diam beberapa ketika, Umie bersuara menjelaskan lagi kepada sahabatnya yang kelihatan beremosi itu.
" Nor, kalau sekarang aku belum mendapat kaseh sayang sebenar dari suami ku itu, mungkin kerna jarak kami ini. Namun aku redoh dengan semua ini, dengan harapan moga inilah yang akan membawa aku ke syurga yang aku impikan. "
Norlia seperti mati akal mendengar kata-kata sahabatnya itu. Dia menghulurkan tangannya kepada Umie.
" Kawan, maafkan dengan kata-kata aku tadi. Kau memang satu-satunya sahabat aku yang cukup pelik. Kita jumpa lagi. "
" Pelik.. Pelik.. Apa yang aku pelik? Tiba-tiba terkeluar pertanyaan itu dari mulut Umie yang sudah berkali-kali menguap. Ingatannya beransur pudar bersama kelopak matanya yang semakin tertutup.
*****T A M A T*****
Cerpen –
PELIK
Penulis : Kesuma Kasih
PERINGATAN:
Cerpen ini tiada kaitan dengan sesiapa, baik yang hidup mahu pun yang telah mati. Ia cuma rekaan semata, dengan harapan dapat memberi PENGAJARAN.
SELAMAT HARI RAYA RAKAN2 SENI...
Tidak ada komentar:
Posting Komentar